Cukai Alam Sekitar: Pelaksanaan, Penjagaan Alam Sekitar dan Sistem Cukai yang Cekap

Authors

  • Azwanis Azemi
  • Mohd Rizal Palil
  • Amizawati Mohd Amir
  • Suzana Muhamad Said

Keywords:

Cukai Alam Sekitar, Teori Pigouvian, Prinsip Pencemar Bayar, Faedah Berganda, Penjagaan Alam Sekitar

Abstract

Pencemaran alam sekitar merupakan masalah global. Penggunaan instrumen asas pasaran seperti cukai dikenal pasti sebagai kaedah terbaik bagi mengurangkan masalah alam sekitar berbanding instrumen-instrumen lain seperti penggunaan undang-undang atau kempen-kempen penjagaan alam sekitar. Negara-negara maju di Eropah kebanyakannya telah melaksanakan cukai alam sekitar bermula pada tahun 1990an dan terbukti ianya dapat memberi faedah berganda. Yang pertama dikatakan dapat membawa kebaikan dalam mengurangkan masalah pencemaran dan yang kedua dapat meningkatkan kecekapan sistem percukaian seperti meningkatkan pendapatan kerajaan, mengurangkan cukai pendapatan individu, cukai korporat, dan cukai-cukai lain yang tidak perlu. Objektif utama kajian ini adalah untuk memahami pelaksanaan cukai alam sekitar yang telah dilaksanakan di negara-negara maju termasuk bentuk pelaksanaan dan kesannya dari segi faedah berganda. Kaedah kajian ini adalah dengan mengulas secara terperinci kajian-kajian berkaitan pelaksanaan cukai alam sekitar yang telah dilakukan manakala kutipan data pula adalah dengan menggunakan kaedah kajian kepustakaan, kajian literatur, kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan Teori Pigouvian atau Prinsip Pencemar Bayar (Polluter Pays Principle), laporan-laporan perakaunan dan percukaian serta model atau indeks cukai alam sekitar di negara-negara maju yang telah melaksanakan cukai ini. Analisis yang dilakukan adalah melihat beberapa bentuk pelaksanaan cukai alam sekitar mengikut definisi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), kesan faedah berganda cukai alam sekitar di beberapa buah negara dan perbandingan hasil cukai alam sekitar di beberapa buah negara maju. Jangkaan hasil kajian adalah cukai alam sekitar telah banyak memberi faedah berganda kepada negara-negara yang telah melaksanakannya. Sumbangan kajian ini adalah dapat dijadikan rujukan dan memberi kefahaman tentang cukai alam sekitar yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar serta meningkatkan kecekapan sistem percukaian di Malaysia.

Published

2019-09-21